Seorang lelaki maut selepas dipercayai menjadi mangsa dalam kejadian pergaduhan yang turut membabitkan seorang wanita
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.20 malam tadi di Kampung Baru, di sini.
Katanya, tiga rakaman video mengenai kejadian tersebut yang masing-masing berdurasi 17, 10 dan lima saat turut tular sekitar pukul 10.23 pagi ini. Menurut beliau, rakaman video itu dimuat naik menerusi laman Facebook, ‘Kongsi Segala Info’ dan turut memaparkan kejadian pergaduhan berkenaan yang menggunakan senjata tajam dipercayai sejenis pedang.
“Mangsa iaitu seorang lelaki tempatan yang berusia dalam lingkungan 30 tahun mengalami cedera parah akibat pergaduhan itu dan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Bukit Mertajam di sini. “Siasatan awal mendapati, lokasi kejadian adalah kawasan terbuka iaitu berhampiran medan selera dan kesemua yang terlibat iaitu warga tempatan didapati saling mengenali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.“Punca kejadian masih disiasat dan polis turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222.