KUALA LUMPUR: Sejumlah 128,124 permohonan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) diterima Kementerian Ekonomi setakat 5 Okt 2023, dan daripada jum...
: Sejumlah 128,124 permohonan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat diterima Kementerian Ekonomi setakat 5 Okt 2023, dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 47,909 individu daripada kategori berpendapatan rendah layak untuk dipadankan dengan tiga inisiatif rintis IPR.
“Senarai pemohon akan disemak silang dengan data eKasih, iDamak dan Sumbangan Tunai Rahmah bagi memastikan pelaksanaan program ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu miskin tegar, miskin dan B40,” menurut kementerian itu dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Selasa.
“Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersedia untuk memberikan bantuan berbentuk input dan peralatan moden pertanian, latihan dan khidmat nasihat teknikal serta elaun sara hidup tempoh menunggu penuaian hasil tanaman,” jelasnya. Melalui inisiatif ini, Kementerian Ekonomi akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal bagi kerja-kerja pembersihan di premis awam.
Selain itu, menurut kementerian, pendekatan membasmi kemiskinan tegar menerusi pelaksanaan program secara bersasar sama ada secara individu, komuniti atau hibrid juga turut diteruskan berdasarkan profil ketua dan ahli isi rumah miskin tegar serta potensi lokaliti yang dipilih di seluruh negara.