Sama-sama kita tunggu.
PETALING JAYA: Lebih 50 petugas media pelbagai agensi mula berkumpul di Pintu 2 Istana Negara sejak pukul 12 tengah hari bagi liputan ketibaan pemimpin politik menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Utusan Malaysia difahamkan sesi menghadap hari ini berkaitan pelantikan Perdana Menteri baharu dan akan dimulakan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada pukul 1.30 petang disusuli Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 2 petang. Media semalam melaporkan pemimpin parti politik dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, dipercayai berkaitan dengan perbincangan berhubung siapa bakal dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Perbincangan itu susulan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta, semalam. Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik. – UTUSAN ONLINE