Ekstremisme menyusup di media sosial
KEJADIAN keganasan seperti pergaduhan, buli serta pembunuhan kejam yang berlaku di negara ini mutakhir ini amat membimbangkan. Kes seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bertindak luar kawalan dan kewarasan apabila menikam pemandu e-hailing mendesak kita meneliti intervensi mendalam diambil terhadap beberapa insiden yang menjurus kepada ekstremisme atau perlakuan melampau.
Antara kaedah popular digunakan kumpulan ekstremis ini dalam mempengaruhi pemikiran rakyat menyertai fahaman mereka kini adalah menggunakan media sosial. Mereka melakukan propaganda hitam menyebarkan bahan-bahan yang disunting ke dalam media sosial untuk menarik minat pengguna internet memuat turun dan menonton media tersebut. Ini termasuk penggunaan strategi komunikasi yang direka untuk mempengaruhi pendapat dan merekrut ahli baru ke dalam kumpulan yang melampau itu.
Di samping itu, latar belakang masyarakat yang pelbagai memudahkan kumpulan ekstremis ini terus mempengaruhi minda rakyat untuk terjerumus menyertai kumpulan mereka. Ekstremisme berpunca daripada ketidakupayaan atau keengganan untuk menerima pandangan atau nilai yang berbeza. Ekstremis sebegini selalunya melibatkan diri dalam aktiviti atau mengenal pasti kumpulan tertentu yang memegang pandangan atau matlamat melampau.Mereka menolak dialog atau perbincangan yang membina dengan pihak yang berbeza dan lebih suka mempertahankan pandangan mereka tanpa membuka diri kepada perbezaan. Sikap ini boleh menguatkan polarisasi dan konflik dalam masyarakat.