Kota Kinabalu: Kira-kira 500 murid dan pelajar di perumahan Sabah Forest Industries (SFI), Sipitang, berhadapan risiko pembelajaran terganggu disebabkan bekalan elektrik sudah enam bulan tidak disambung.
Wakil penduduk SFI, Jeffridin Baudi berkata, kesemua penduduk di perumahan itu masih tidak disambung bekalan elektrik dan menyebabkan anak-anak mereka terpaksa belajar dalam keadaan bergelap.“Perkara ini sudah berlarutan selama enam bulan apabila penduduk terpaksa bergantung dengan set generator atau lilin pada waktu malam bagi kemudahan anak-anak mereka belajar.
“Sampai bila kami terpaksa bergantung dengan lilin dan set generator yang akhirnya akan menyebabkan pelajar di kawasan ini tertekan dan berisiko merosot pembelajaran mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.Jeffridin berkata, selepas masalah penduduk dilaporkan, mereka cuma menerima makluman daripada Pegawai Khas Ketua Menteri bahawa keputusan perlu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Peguam Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Kami berharap Ketua Menteri dapat memberi kebenaran kepada Sabah Electricity Sdn Bhd untuk menyambung semula bekalan elektrik di perumahan tersebut.